Tarikh: 27 Januari 2026
Universiti Malaya telah melaksanakan pemasangan Alat Ukur Aras Air PODSTICK (POD) sebagai inisiatif pemantauan aras air secara berterusan di kawasan berisiko banjir dalam kampus. Pelaksanaan kerja ini telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Harta Benda (JHB), Universiti Malaya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selaras dengan usaha memperkukuh sistem pemantauan dan pengurusan risiko banjir di peringkat kampus.
Pemasangan alat ini bertujuan untuk membolehkan bacaan aras air direkodkan secara lebih sistematik, konsisten dan mudah dipantau. Data yang diperoleh daripada POD akan digunakan sebagai rujukan awal bagi mengenal pasti potensi limpahan air, menyokong tindakan pencegahan serta membantu perancangan penyelenggaraan infrastruktur saliran universiti secara lebih berkesan.
Inisiatif ini juga selaras dengan agenda kelestarian Universiti Malaya serta pendekatan disaster preparedness, dengan penekanan kepada pengurusan risiko bencana yang berasaskan data, pemantauan berterusan dan tindakan proaktif. Langkah ini secara tidak langsung menyumbang kepada aspek keselamatan warga kampus dan kelangsungan operasi universiti.
Pelaksanaan pemasangan POD ini diharap dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada Universiti Malaya dalam memperkukuh pengurusan infrastruktur, kesiapsiagaan bencana serta menyokong pembangunan kampus yang mampan dan berdaya tahan.
Galeri Gambar >> KLIK SINI