• Welcome to Office of the Chief Facility Officer
  • dasar_jhb@um.edu.my
  • +603-7967 3999 (8am - 5pm)
logo
logo

Satu lawatan akademik telah dianjurkan oleh Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaya pada 20 Disember 2025 (Sabtu) sekitar jam 9.00 pagi, bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar tahun akhir berkaitan operasi sebenar sistem kuasa di kampus Universiti Malaya. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Nurulafiqah Nadzirah Mansor, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik serta Co-Head, UM Power and Energy System Lab.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus berkaitan sistem kuasa yang ditawarkan pada semester semasa, dengan objektif menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah kepada aplikasi sebenar di lapangan.

Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk:

  1. Memberi pendedahan kepada pelajar mengenai struktur dan operasi sistem kuasa Universiti Malaya;
  2. Meningkatkan kefahaman berkaitan fungsi pencawang elektrik dalam menyokong keperluan beban kampus;
  3. Memberi pemahaman awal berkaitan aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan kualiti bekalan elektrik;
  4. Mendedahkan pelajar kepada skop tugas sebenar pengendalian dan penyelenggaraan sistem kuasa oleh pasukan teknikal Jabatan Harta Benda (JHB).

Sepanjang lawatan, para pelajar telah dibawa melawat beberapa lokasi utama, iaitu:

  1. Bilik Main Switch Board (MSB), Pusat Penjanaan Utiliti 1 (PPU1)
  2. Transformer 33kV, Pusat Penjanaan Utiliti 1 (PPU1)
  3. Ruang Kabel Voltan Tinggi (HT), PPU1
  4. Pencawang Elektrik 11kV, Bangunan UMX

Setiap lokasi lawatan disertakan dengan penerangan terperinci oleh pasukan teknikal elektrik Jabatan Harta Benda (JHB) berkaitan fungsi peralatan, prosedur operasi serta langkah-langkah keselamatan yang diamalkan bagi memastikan bekalan elektrik kampus sentiasa stabil dan selamat.

Para pelajar telah memberikan maklum balas yang amat positif terhadap penganjuran lawatan ini. Mereka menyatakan bahawa penerangan yang diberikan oleh pasukan elektrik JHB sangat membantu dalam meningkatkan pemahaman terhadap sistem kuasa sebenar, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembelajaran teori yang dipelajari di dalam kelas.

Sebagai penyelaras kursus, Dr. Nurulafiqah Nadzirah Mansor turut mencadangkan agar kerjasama antara Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Harta Benda (JHB) diteruskan secara berkala, khususnya melalui penganjuran lawatan tahunan. Inisiatif ini dilihat mampu memberi peluang berterusan kepada pelajar Kejuruteraan Elektrik untuk memperoleh pendedahan sebenar terhadap operasi sistem kuasa sambil mempelajari teori berkaitan dalam kursus Sistem Kuasa.

Pihak Jabatan Kejuruteraan Elektrik merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Harta Benda (JHB) atas kerjasama, perkongsian kepakaran serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif kolaborasi ini dapat diteruskan bagi melahirkan graduan kejuruteraan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta universiti.

Galeri gambar:

Highlights