Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Innoscapers dari Jabatan Harta Benda (JHB) atas kejayaan cemerlang meraih kemenangan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Universiti Malaya 2025 yang telah berlangsung pada 15 hingga 16 Oktober 2025.
Kumpulan Innoscapers telah mempertaruhkan projek inovatif bertajuk “Healing Garden”, iaitu satu inisiatif berteraskan konsep Inovasi Hijau dalam Menangani Kesihatan Mental. Projek ini dibangunkan dengan objektif untuk menyediakan ruang hijau terapeutik yang mampu membantu mengurangkan tekanan mental, meningkatkan kesejahteraan emosi serta menggalakkan interaksi sosial yang positif dalam kalangan warga kampus.
Pendekatan berasaskan alam semula jadi yang diketengahkan melalui konsep Healing Garden ini dilihat sebagai satu solusi mampan dalam menyokong keseimbangan kesihatan mental dan fizikal, selari dengan keperluan semasa komuniti universiti yang semakin berdepan cabaran tekanan kerja dan kehidupan.
Selain kejayaan utama dalam konvensyen tersebut, Kumpulan Innoscapers turut mencatat pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai Pemenang Kategori Geran Projek – Kumpulan Staf, sekali gus membuktikan keupayaan warga Universiti Malaya dalam menghasilkan inovasi yang praktikal, berimpak tinggi dan berorientasikan kesejahteraan.
Pihak JHB merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh ahli Kumpulan Innoscapers atas komitmen, kreativiti dan usaha berpasukan yang ditunjukkan. Diharapkan kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif inovatif yang memberi manfaat kepada komuniti kampus dan universiti secara keseluruhan.
![]() | ![]() | ![]() |
![]() | ![]() |